Pengalaman : Mendaki Bukit Mertajam 2024
Pagi 10 May 2024, aktiviti aku harini adalah untuk menakluk Bukit Mertajam atau mereka panggil Cheruk Tok Kun. Kenapa aku nak mendaki sebab aku perlukan aktiviti yang aku boleh keluar ambil angin sambil cuci mata tengok pokok hijau dan dengar air sungai mengalir. Suasana tu semua tiada di tempat aku bekerja sepanjang hari. Mana aku hadap dengan barang-barang kedai dan kotak penuh di kedai. Semua tu buat aku sesak dan stress tak tentu pasal. Nak bersosial dengan pelanggan pun buat aku tiada hati.
Jadi pagi tu, aku bersiap lambat sebab badan ku lesu dan tak bermaya jadi aku perlukan lebih rehat. Aku gerak dalam pukul 10 pagi dengan Adek, kereta Saga merahku. Buka telefon Samsung ku dan apps Maps dan buat carian Bukit Mertajam. Kedengaran suara perempuan di Maps ku menunjuk arah. Lebih kurang 7 minit jarak rumah aku ke Bukit Mertajam Forest. Tak jauh, kata hatiku.
Aku tak bersedia dengan apa-apa. Aku main redah saja. Aku kenakan diri aku dengan pakaian seluar track kelabu, baju lengan pendek dan di sarungkan dengan kardigan hitam yang punya jahitan corak bunga di kawasan bahu. Aku pakai kasut sport yang berjalur warna merah dengan latar belakang putih. Stokin aku hitam.
Perjalanan ke sana agak mencabar sebab banyak betul kereta di jalan. Di penang bagi aku tak pernah lekang dengan kereta. Di mana-mana jalan asyik penuh dengan kereta. Tapi aku gagahkan juga nak pergi mendaki Bukit Mertajam.
Belok kiri, kata Maps.
Kiri kanan aku ada rumah-rumah kampung yang dihuni orang penduduk tempatan. Masuk ke dalam lagi baru aku nampak keadaan hutan dan ada la pondok atau kedai yang buka di situ. Aku pun tak pasti kedai apa tapi nampak usang dan hampir semua struktur pondok di buat dari kayu. Belah kanan aku pula ada kawasan tokong Cina yang nampak sangat lama dan macam ditinggalkan. Aku perasan ada la sebuah kereta parking di situ. Mungkin masih ada orang yang jaga walaupun nampak tidak terurus.
Selang beberapa minit, aku tiba di gerbang pintu, Taman Rimba Bukit Mertajam. Aku bawa Adek pusing sekali di parking kereta untuk cari tempat sesuai. Aku perasan ada sekumpulan monyet berdekatan dengan pagar pembahagi antara hutan dan kawasan parking. Jadi aku berhentikan Adek di kawasan parking terbuka dan dekat dengan pintu gerbang. Selamat.
![]() |
Pintu Gerbang Taman Rimba Bukit Mertajam |
Aku tekan plug di tepi kerusi memandu Adek untuk buka bonet Adek. Aku keluarkan kayu daki ku yang aku beli di Kuala Kangsar dengan Abah. Kayu berwarna hitam dan hujungnya berwarna putih. Panjangnya takat pinggangku. Sesuai untuk aku pegang dan sokong berat aku masa daki nanti.
Sebelah aku, tiba sebuah kereta silver parking di sebelah Adek. Pasangan. Berbangsa India nampak berusia.Berpakaian suit track hujan, berkasut sport dan seluar track. Mereka gerak dulu sebelum aku.
Kebetulan, aku bawa sekali gula-gula dan air botol untuk aku daki. Aku bawa sekali jika penat nanti. Poket aku penuh.
Mula la pendakian aku. Kawasan tempat sangat bersih dan lawa. Penuh dengan bangunan dan struktur perjalanan kaki, siap tiang penghalang. Waktu aku tiba di tengah sedikit, aku perasan ada sekumpulan orang tengah lakukan aktiviti senam rengang. Aku tak pasti rengangan apa. Ada yang duduk saja sambil menikmati suasana hutan. Ada juga yang baru balik dari mendaki. Ada yang baru nak mulakan perjalanan seperti aku.
Bangunan yang aku nampak ada kemudahan surau. Besar. Lawa. Tapi tiada orang di dalam. Ada juga projek pertanian di sebelah kiri. Ada kedai makanan jual air dan buah-buahan. Ada papan informasi yang tulisan sudah hampir hilang. Papan yang menunjukkan perjalanan dari permulaan sehingga ke puncak bukit. Aku teruja!
![]() |
Papan Informasi |
Tiba aku dihujung jalan. Ada penghalang jalan diletakkan bagi nak elak kenderaan masuk. Situ baru ada struktur sungai mengalir dan batu-batu sungai yang besar. Ramai aku nampak duduk di situ. Nikmat. Aku tak singgah. Pelan aku untuk daki dulu sejauh yang boleh pagi tu.
Sambil aku daki sambil aku pegang Samsung ku untuk tangkap gambar suasana dan keadaan di situ. Mungkin aku tak akan jejak lagi di sini. Ramai juga yang mendaki haritu. Aku seorang. Dengan kayu daki, aku daki perlahan-lahan.
Cantik.
Itu saja yang boleh aku ucapkan masa tu. Tenang je. Waktu aku sudah letih, ada seorang lelaki yang lebih berusia menegur aku. Fisrt time naik ke? Aku hanya mampu jawap ya. Aku malu sebab dia nampak aku macam kepenatan. Tapi aku teruskan juga sampai la aku dah tak boleh daki lagi.
Aku daki, daki dan daki.
Nampak bunga lawa dan pondok aku berhenti kejap. Tengok suasana hutan. Tarik nafas. Ada monyet juga di jalan. Aku tak layan.
Aku daki, daki dan daki lagi.
Aku nampak aunty cina. Aku tegur dia. Jauh lagi ke?
Dia rekomen kat aku, ada pondok di selekoh atas sikit kalau nak berehat. Aku pun senyum dan cari pondok tu. Jumpa. Aku berhenti dan tangkap gambar di kawasan situ. Berehat kejap. Pondok agak kotor dengan bekas botol air tak terbuang. Tiada tong sampah di situ. Pondok pula penuh dengan tulisan oleh pasangan kekasih, ukiran cinta dan nama-nama yang sampai di situ. Aku baca saja.
![]() |
Selekoh nak sampai pondok |
Lebih kurang 10 minit aku berehat sebelum aku turun. 1 jam aku naik dan 1 jam aku turun.
Jam tunjuk 12 tengahari. Aku mula lapar. Aku singgah dulu di tepi sungai aku nampak. Keadaan situ dah tak ramai. Aku duduk dan rakam video untuk simpanan aku. Bunyi dan suasana aku simpan dan nikmati betul-betul.
Cukup. Aku lapar.
Aku pun bergerak balik. Tiba - tiba aku terdengar perbualan 2 orang lelaki yang berpakaian oren MBSP yang menjaga kawasan. Mengomel setiap pendaki yang rajin mendaki pada kawan dia. Aku pun turut dia komen. Aku tak pandang dan teruskan saja berjalan ke Adek. Tangan aku pula tak lekang untuk menangkap gambar di situ. Untuk kenangan aku.
Aku perasan kedai makan mula buka sepenuhnya. Orang sudah tidak ramai lagi. Ada juga jurugambar dengan kamera besar mereka tekun nak tangkap gambar sekumpul monyet di situ. Aku takut sebab monyet tu besar.
Parking pun dah mula nampak monyet - monyet ni keluar cari makanan. Mula kacau kereta orang yang parking di situ. Aku cepat - cepat duduk di kereta. Tangan aku sempat untuk merakam dan tangkap gambar terakhir di kawasan Bukit Mertajam. Aku puas untuk pagitu.
Dalam perjalanan balik ke rumah aku singgah ke kedai untuk bungkus makanan. Alhamdulilah untuk harini. Aku ada peluang untuk mendaki Bukit Mertajam.
![]() |
Sekumpulan Monyet Cari Makan |
oooo000oooo
Ulasan
Catat Ulasan